30 April 2009

Jadilah isteri yang disenangi suami

Hayat sesuatu perkahwinan umat Islam pada akhir-akhir ini tidak lama, paling lama boleh bertahan ialah selama lima tahun tetapi yang paling singkat ialah 7 hari. Ketidakserasian dikatakan punca berlakunya perpisahan mereka.

Persoalannya bagaimana perkahwinan itu boleh terjalin kalau tidak serasi. Adakah sebelum berkahwin mereka tidak melihat keserasian itu? Mengapa pula selepas berkahwin baru didapati hubungan mereka tidak serasi?

Barangkali benarlah kata orang tua-tua, “cinta itu buta”. Sewaktu bercinta mereka tidak nampak cacat celanya. Waktu bermadu kasih, semua yang buruk nampak cantik dan indah belaka. Jadi, keserasian tidak dapat dikesan kerana manusia dikatakan boleh berlakon melindungi watak sebenar.

Walau bagaimanapun hujah keserasian itu tidak begitu kuat untuk diterima kerana keserasian boleh datang selepas berkahwin. Jadi, punca sebenarnya ialah pasangan itu tidak pandai membina keserasian. Suami dan isteri gagal memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam ruangan yang terbatas ini saya ingin membawa pembaca untuk menghayati sebuah hadis iaitu Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taatlah kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, nescaya sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran. Sungguhpun begitu sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al-Imam Bazzar).

Menurut hadis di atas, dua perkara yang sering diabaikan oleh isteri ialah; mentaati suami dan mengakui hak suami. Lazimnya selepas pasangan pengantin diijabkabulkan mereka enjoy dengan kebebasan yang mereka peroleh. Mereka terlupa untuk mengenali secara lebih mendalam isi hati masing-masing atas alasan sudah kenal lama.

Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.

Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.

Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?

Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.

Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.

Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.

Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?

Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.

Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.

27 April 2009

Mengumpat dan gosip mana lebih besar bahaya?

AHMAD BAEI JAAFAR

 

Mengumpat seperti yang diperjelaskan sebelum ini adalah dosa besar dan dibenci Allah. Namun sebahagian masyarakat kita masih menjadikannya satu tabiat yang menyeronokkan. Hukum haram hanya dipandang kecil. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Jelas di sini, mereka yang terlibat dengan mengumpat ini tidak takut kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman Allah. Hal ini kerana iman mereka kepada Allah terlalu tipis atau tiada iman, lalu sanggup melakukan apa sahaja.

Sebenarnya orang yang mengumpat ialah orang yang melanggar amanah dan menyalahgunakan kurniaan Allah iaitu lidah. Anggota lidah diberikan kepada manusia untuk membolehkan manusia merasai makanan, bercakap memberi nasihat dan melarang amalan yang keji. Tetapi sebaliknya manusia menggunakan lidah untuk mengumpat manusia lain.

Jika manusia sedar bahawa dengan mengumpat itu mereka telah melakukan dua dosa iaitu menjatuhkan maruah orang dan menyalahgunakan amanah Allah pasti mereka berfikir dua kali untuk mengumpat. Tetapi semua itu tidak pernah difikirkan oleh mereka.

Selain mengumpat, gosip adalah satu lagi bentuk dosa di alaf ini. Malah gelanggang gosip lebih luas kerana diterajui oleh media sama ada elektonik mahu media cetak. Sesuatu yang menjadi rahsia seseorang habis dibongkar kepada umum.

Ramai yang berminat untuk mengetahui gosip itu kerana dapat mengetahu rahsia orang. Sama ada cerita yang dibawa itu betul atau tidak, mereka tetap akan terimanya sebagai bahan berita malah ada yang sanggup memanjangkannya.

Sebenarnya dengan gosip ini tiada rahsia yang boleh disimpan lagi, semuanya akan terdedah secara pantas. Walaupun pihak yang teraniaya boleh membuat penafian tetapi penerima orang ramai masih tidak pasti. Begitulah bahayanya gosip.

Lazimnya artis digosipkan dengan cerita percintaan, pertunangan, perkahwinan, bercerai, dan pelbagai lagi yang semuanya diperoleh dari sumber yang tidak sahih. Kadang-kadang gosip ini dilakukan secara serkap jarang. Tetapi kesannya adalah sama, boleh menjatuhkan maruah artis berkenaan.

Tidak dinafikan ada juga gosip yang sengaja dicipta oleh ampunya diri sendiri bagi tujuan mempromosi dirinya. Gosip seperti ini tidak mungkin boleh menjatuhkan maruahnya kerana dia sendiri sudah bersedia dengan jawapannya bagi menaikkan imejnya semula.

Tetapi gosip yang dicipta oleh wartawan dan kemudiannya diperpanjangkan oleh orang ramai itu boleh mencemarkan maruah artis terbabit. Hal ini kerana berita yang dibawa itu berkemungkinan termasuk dalam mengumpat atau menyebar fitnah.

Orang politik juga tidak terlepas daripada digosip oleh wartawan. Kadang-kadang digosipkan dengan wujudnya perempuan simpanan, melakukan hubungan terlarang dengan setiausahanya atau bercerai.

Berdasarkan keterangan di atas, gosip dan mengumpat dibina atas tujuan atau niat untuk menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa gosip adalah untuk menyedarkan artis atau ahli politik yang sombong, tetapi kesannya tetap memalukan.

Jadi, apa bezanya gosip dengan mengumpat dalam hal ini? Sepintas lalu kedua-duanya tiada beza, tetapi kadang-kadang gosip boleh jadi fitnah jika semua itu tidak betul. Berdasarkan kedudukan itu, maka gosip lebih bahaya daripada mengumpat.

Walau bagaimanapun mengumpat dalam keadaan tertentu boleh dimaafkan malah pada enam tempat berikut adalah diharuskan dalam Islam. Demikian seperti yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abul Samad Palimbangi, iaitu:

1. Menyebutkan kejahatan orang zalim kepada kadi supaya dihukumkannya dengan yang setimpal.

2. Menyatakan seseorang itu membuat kejahatan berdasarkan perbuatan mungkarnya supaya dengan cara itu dia boleh meninggalkan perbuatan maksiatnya.

3. Oleh sebab hendak meminta fatwa daripada mufti dia mengadu tentang seseorang yang menzaliminya apakah hukumnya dan apakah jalan penyelesaian.

4. Bertindak untuk menakutkan orang yang berkemungkinan hendak bersahabat dengan orang fasik atau zalim.

5. Untuk memberi tahu tentang orang yang tidak dikenal namanya lalu dia menyebut sifatnya.

6. Menyebut kejahatan orang yang sudah masyhur dengan kejahatannya supaya orang lain tidak menjadi mangsanya.

Supaya lebih jelas perhatikan beberapa contoh berikut:

Seorang pemuda telah mengambil barang milik bapanya. Lelaki lain yang melihatnya segera ke pejabat polis dan tanpa berselindung menyebut perbuatan jahat pemuda itu. Menyebut kejahatan orang lain adalah mengumpat tetapi dalam hal ini, dibenarkan supaya dengan itu pemuda itu boleh ditangkap.

Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sering melakukan tabiat buruk seperti merokok. Hendak tegur sikapnya, tiada siapa yang sanggup berhadapan dengannya. Maka tabiat buruknya disebut di hadapan umum dengan harapan apabila dia dengar boleh timbul kesedaran dan berubah.

Dalam contoh yang lain, seorang wanita pernah ditipu oleh seorang lelaki dan berjaya memperdaya perasaannya malah hampir dirogol. Pada suatu hari dia ternampak lelaki itu sedang berbual dengan seorang gadis lain. Demi menyelamatkan maruah gadis itu, dia menceritakan kejahatan lelaki itu dengan harapan gadis itu tidak terpedaya dan menjauhkannya. Pada dasarnya ia juga mengumpat tetapi dibenarkan.

Dalam kes yang lain, seorang lelaki atau wanita yang sudah masyhur dengan kejahatannya. Namanya sudah dikenali umum malah menjadi bualan orang ramai. Menyebut keburukannya tidak lagi dikira mengumpat.

Empat contoh ini lazim berlaku dalam masyarakat kini dan inilah yang dibenarkan dalam Islam. Maka selain senarai di atas, tetap dikategorikan sebagai mengumpat dan berdosa besar. 

24 April 2009

Jom ke Pesta Buku Antarabangsa 2009


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh sahabat, temanku dan pengunjung blog ini. Saya doakan anda berada dalam keadaan yang baik dan bahagia. Saya mengambil kesempatan pada hari Jumaat ini untuk mengajak anda untuk memiliki dan membaca satu lagi bahan bacaan yang pada saya amat baik untuk membuka minda, ilmu dan amal kita pada zaman ini. Bahan yang dimaksudkan ialah Majalah Solusi.


Sehingga kini baru diterbitkan 7 keluaran. untuk Solusi isu 1 hingga Solusi isu 6 telah habis jualannya di Pesta Buku yang sedang berlansung di PWTC sekarang. Keluaran Solusi isu 7 insya-Allah kalau tidak ada halangan akan ada dalam pasaran, di pesta buku pada Ahad ini 26 April 09 iaitu hari penutup.


Dapatkan bahan tersebut di Gerai (booth) Telaga Biru. Anda juga boleh dapatkan banyak buku ilmiah terbitannya untuk membina kekuatan Islam kita. Kalau ada peluang saya akan berada di gerai tersebut pada sebelah petangnya. Bolehlah kita berjumpa di sana.

18 April 2009

Hayati maksud ucapan Perdana Menteri

Saya menyambut baik pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu berucap di Pahang semalam, yang menegaskan bahawa BN tidak mahu main politik kotor. Sebaliknya kerajaan mahu main politik membela rakyat. Sebenarnya inilah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia seluruhnya. Saya percaya rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama akan menyokong.

Menurutnya BN tidak akan terjebak dengan mainan politik pembangkang dengan selalu main politik dengan mengadakan pilihan raya. Kerajaan mahu menunggu pilihan raya ke 13 nanti bagi menentukan pilihan rakyat sebenarnya.

Berdasarkan pengakuan itu saya dan rakyat Malaysia berharap BN tidak terlibat dengan pilihan raya kecil kawasan Penanti, Pulau Pinang nanti. Wang yang ada boleh digunakan untuk pembangunan negara dan membela rakyat. Menghabiskan wang untuk membuat poster dan kempen adalah satu pembaziran dan merugikan wang kerajaan dan wang rakyat.

Sebaliknya kerajaan perlu menghormati rakyat Pulau Pinang di bawah kerajaan PR dan dengan itu memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon PKR. Saya percaya dengan pengalaman yang lalu, BN tidak akan menang, malah kalau silap-silap hari bulan boleh hilang duit pertaruhan. Jadi, tidak perlulah terlibat dalam pilihan raya kecil ini demi rakyat.

16 April 2009

Fitnah, mengumpat pembunuh tanpa senjata

AHMAD BAEI JAAFAR

Kita sering mendengar ungkapan yang menyamakan orang Melayu dengan tabiat hasad dengki. Katanya, orang Melayu tidak boleh maju kerana apabila maju sikit adalah pula orang yang mendengki kepadanya. Ada orang yang tidak senang hati dengan kejayaannya.
Persoalannya, benarkah orang Melayu seperti itu? Atau semua itu hanya persepsi hasil penelitian suasana persekitaran yang sering digambarkan oleh media. Mungkin kita tidak pernah berada dalam masyarakat orang lain; Cina, India, dan Barat dalam tempoh yang lama. Kita tidak berpeluang hidup dalam masyarakat mereka, maka sebab itu kita tidak dapat melihat penyakit itu dalam kalangan mereka.
Sebenarnya, selagi manusia mempunyai nafsu, mereka tidak boleh elak daripada penyakit hasad dengki. Siapapun mereka, bangsa apapun mereka, keturunan apapun mereka, penyakit hasad dengki boleh bersarang dalam jiwa mereka. Kalau tidak, tidaklah Rasulullah memberi amaran berikut: “Jauhilah kamu daripada hasad dengki, sesungguhnya hasad dengki itu memusnahkan kebaikan seperti api memakan kayu api.”
Kalau Sahabat Rasulullah sudah diberi peringatan begitu, sudah tentu menunjukkan orang Arab juga ada penyakit hasad dengki. Bukan orang Melayu sahaja, tetapi bangsa lain juga ada hasad dengkinya.
Beruntunglah para Sahabat kerana mereka diberi peringatan awal oleh Rasulullah, lalu mereka berhati-hati dan dapat menjauhkan diri daripada penyakit hasad itu. Barangkali kalau orang Melayu mendapat didikan Rasulullah secara langsung, tentu mereka juga akan terhindar daripada hasad dengki itu.
Orang Melayu pada hari bukan sahaja tidak berpeluang bersama Rasulullah, malah mereka sendiri malas untuk mengkaji dan mengambil tahu ajaran baginda. Mereka tidak mahu meluangkan masa untuk belajar ajaran Islam baik di surau mahupun di masjid dan sebagai.
Oleh sebab itu, sebahagian besar orang Melayu mudah terdedah kepada penyakit hasad dengki. Apabila seseorang itu sudah ada hasad dengki terhadap orang lain, nanti orang itu pula akan membalas dendam. Kesannya, akan terjadilah rangkaian hasad dengki dari generasi ke generasi lain tanpa henti.
Lazimnya, dalam masyarakat Melayu hasad dengki dikaitkan dengan perbuatan sihir. Tetapi kerana hasad dengki juga mereka sanggup menabur fitrah dan mengumpat seseorang yang dianggap musuhnya. Kerana mahu menjatuhkan seseorang, dia sanggup membuat fitnah atau sekurang-kurangnya mengumpat peribadi lawannya.
Fitnah ialah tuduhan yang tidak berasas terhadap seseorang dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah diri orang berkenaan. Manakala mengumpat ialah mendedahkan keaiban seseorang pada khalayak ramai dengan tujuan menjatuhkan maruah diri seseorang. Kedua-dua perbuatan itu adalah dosa besar yang seharusnya tidak amalkan oleh umat Islam.
Di negara kita mengumpat dan menabur fitnah berlaku berleluasa sama ada dalam kalangan orang awam, ahli politik, ahli perniagaan, dan juga orang agama. Kalau dahulu fitnah dan mengumpat tersebar melalui ceramah dan surat layang, tetapi kini tersebar melalui SMS dan e-mel juga laman blog.
Mengapa dua perbuatan itu mudah berlaku dalam kalangan umat manusia? Sebenarnya selain kerana hasad dengki, manusia terbabit tidak memiliki iman dalam jiwa mereka. Meskipun mereka mengakui beragama Islam namun iman yang tersemat dalam jiwa mereka terlalu tipis.
Perlu ditegaskan di sini, orang yang memiliki iman yang padu, sentiasa hampir dengan Allah, takut kepada Allah, malu untuk melakukan dosa kepada Allah. Oleh sebab itu mereka tidak sanggup melakukan dosa. Sebaliknya jika mereka memiliki iman yang tipis, mereka tidak akan takut kepada Allah, tidak malu kepada Allah dan pada masa yang sama mereka sanggup melakukan dosa.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Iman dan malu bergandingan, apabila terangkat salah satu daripadanya akan terangkat juga yang satu lagi.” Dalam hadis yang lain baginda berkata, “Iman ialah malu, apabila seseorang itu tiada perasaan malu, buatlah apa yang kamu suka.”
Jelas di sini mereka yang tiada iman dan tiada malu mudah melakukan dosa termasuk dosa fitnah dan mengumpat. Allah dalam keadaan itu tidak bertanggungjawab kepada pelakunya, sebaliknya bersedia untuk mencampakkan mereka ke dalam neraka.
Firman Allah, “Fitnah lebih dahsyat daripada pembunuhan” dan dalam ayat lain Allah berfirman, “Fitnah lebih besar dosanya daripada pembunuhan.”
Orang yang melakukan fitnah mengikut ayat di atas lebih dahsyat daripada pembunuhan kerana orang yang kena fitnah akan menderita malu yang berpanjang. Atas kejahatannya itulah maka dosanya lebih besar daripada dosa membunuh. Oleh sebab itu mereka wajar dicampakkan ke dalam neraka.
Sebenarnya seseorang penyebar fitnah jika sebelum bertindak menyebarnya masih ada iman di jiwa, pasti dia sedar akan dosanya, dan dia akan segera menukar fikiran kerana takut dicampakkan ke dalam neraka. Tetapi jika semua itu tidak berlaku maka fitnah akan terus tersebar.
Selain fitnah, mereka turut mengumpat kerana menyangka bahawa mengumpat tidak salah dan tidak berdosa. Ketahuilah, mengumpat dan fitnah sama-sama dosa besar yang amat dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Marilah kita mengelakkan diri kita daripada kedua-dua dosa tersebut.

14 April 2009

Suami yang layak ditaati isteri

Ada orang bertanya, mengapa Rasulullah tidak menyatakan secara jelas ciri-ciri lelaki yang seharusnya dipilih oleh bakal isteri. Hadis secara jelas hanya menyebut ciri-ciri wanita yang lazimnya dicari oleh lelaki iaitu yang beragama selain tiga lagi jika perlu.
Kalau lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari suami. Kata mereka, kalau ada panduan sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.
Memang secara jelasnya Rasulullah tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi sebenar kalau wanita benar-benar hendak mencari bakal suami, mereka boleh ikut sepertimana Khadijah memilih suaminya, Rasulullah.
Pada peringkat awalnya Khadijah menghantar perisik untuk melihat peribadinya secara lebih dekat. Perisik yang adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul mengenai apa yang dirisikkan itu. Hasilnya dia berjaya berkahwin Muhammad dan ternyata pilihan itu terbaik.
Antara ciri-ciri yang dapat dikesan pada diri Muhammad pada waktu itu ialah:
1. Jujur lalu tidak mengambil kesempatan
2. Amanah dengan tugas
3. Pemalu dengan wanita
4. Beragama lalu takut kepada Allah
5. Boleh menjadi pemimpin.
Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat menghormati sampai bila-bila masa sekalipun pada usia tua. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa baik sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT.
Walau bagaimanapun, suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk rumah tangga yang damai bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun kufu.
Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Bolehkah ditemui lelaki sebegini di tepi jalan, di kebun bunga, di pasar dan seumpamanya? Hanya wanita yang agamanya kurang akan bertemu jodoh di tempat-tempat berkenaan dan yang pastinya lelaki itu juga tidak menepati ciri-ciri di atas.
Inilah realiti yang berlaku pada hari ini, pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya pada awalnya sahaja tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau tidak mahu melakukan solat.
Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama dan beriman selain kecantikan, berharta dan berketurunan baik, wanita juga perlu pandai memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, pihak wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.
Apabila suami isteri sudah mengikut ciri-ciri di atas mereka perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga ke akhir hayat. Selain itu suami isteri boleh mengekalkan kebahagiaan yang dicapai dengan berpandukan hadis berikut:
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah dia mesti bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra. Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya. Masalah berat yang ditanggungnya dapat hilang apabila dilayan sedemikian rupa.
Selain itu isteri terus memberi ketaatan kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami. Isteri itu juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.
Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuatkan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih dahulu.
Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri dalam berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya, itulah kejayaan yang besar buatnya.
Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia tetap solat dan tetap menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.
Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cari ini mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya.

10 April 2009

Rasuah dan hadiah apa bezanya?

AHMAD BAEI JAAFAR

Rasuah dipandang jijik bahkan ramai yang menggeleng kepala kerana tidak mahu terlibat dengan rasuah itu. Tetapi kadang-kadang ramai juga umat Islam yang tidak menyedari bahawa rasuah telah berada di sisinya.
Sebenarnya rasuah dalam Islam ialah perberian sogokan kepada seseorang untuk membolehkah sesuatu tindakan atau urusan berlaku dengan mudah. Dengan pemberian itu, orang yang menerima rasuah terhutang budi dan terus meluluskannya tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.
Jelas di sini, rasuah adalah satu kesalahan, maka sesiapa yang memberi rasuah telah melakukan satu dosa jenayah, begitu juga dengan yang menerima rasuah. Kedua-duanya berdosa dan jika tidak bertaubat, dia akan dicampakkan ke dalam neraka pada hari pembalasan nanti.
Inilah yang dimaksudkan dalam sebuah hadis seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang memberi rasuah dan yang menerima rasuah tempatnya di dalam neraka.”
Bagaimanapun pada hari ini orang yang menerima rasuah lebih banyak menerima nasib apabila didakwa dan dihukum. Sedangkan orang yang memberi rasuah itu senang lenang, goyang kaki dan terus melakukan rasuah. Walaupun dalam undang-undang Kanun Keseksaan ada peruntukan hukum bagi kesalahan rasuah baik pemberi dan penerima rasuah namun sehingga setakat ini pemberi rasuah masih selamat.
Sungguhpun begitu baru-baru ini negara dikejut dengan beberapa pemimpin UMNO terlibat dalam rasuah politik atau politik wang. Mereka dihukum bersalah malah ada yang tidak dibenarkan bertanding dalam perhimpunan agung UMNO. Syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana bertindak menghukum orang yang memberi rasuah.
Namun begitu hukuman yang dikenakan itu masih tidak menepati kehendak Islam. Orang yang memberi rasuah dihukum dengan yang tidak sepadan kesalahannya, manakala orang yang menerima rasuah masih selamat menikmati hasil rasuah itu.
Sebenarnya pada saya apa yang berlaku itu tidak boleh disalahkan sesiapa dalam hal ini kerana apa yang diamalkan di negara ini bukan daripada ajaran Islam. Jadi, dalam ruang yang terbatas ini saya ingin menjelaskan kepada pembaca sekelian tentang rasuah menurut ajaran Islam.
Dalam sejarah Islam, hakim yang membicarakan sesuatu kes, dia tidak boleh berhubung dengan orang yang terbabit dengan kes tersebut selagi belum selesai kes itu. Larangan itu adalah untuk mengelak daripada dia diberi rasuah oleh pihak yang sedang dibicarakan apatah lagi pihak yang bersalah.
Bertitik tolak daripada larangan itu pemimpin Islam dan pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa penentu adalah dilarang menerima hadiah daripada orang tertentu. Hadiah tersebut boleh dianggap rasuah apabila diberi oleh pihak yang berkepentingan untuk sesuatu urusan dengan pemimpin tersebut.
Pemberi rasuah lazimnya tidak segan silu untuk mempengaruh pihak berkuasa supaya meluluskan sesuatu yang dipohon padahal dia sedar bahawa dia belum tentu layak untuk memperolehnya. Pihak berkuasa yang menerima rasuah itu akan meluluskan permohonan tanpa melihat kelayakannya. Kedua-dua golongan itu adalah bersalah dan perlu dihukum.
Bagaimanapun kalau hanya berlaku sebelah pihak sahaja iaitu pemberi rasuah cuba memberi kepada pegawai yang bertugas tetapi ditolak. Maka dalam keadaan itu pegawai tersebut wajib melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa undang-undang untuk diambil tindakan terhadap yang cuba memberi rasuah itu.
Sebaliknya kalau ada pegawai yang bertugas meminta rasuah untuk membolehkah dia meluluskan permohonannya maka perbuatan meminta rasuah itu adalah satu kesalahan. Pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa undang-undang supaya mendakwa pegawai itu kerana meminta rasuah walaupun dia tidak memberinya.
Berdasarkan hukum itulah maka tiada siapa dalam kalangan umat Islam pada zaman itu mahu terlibat dengan rasuah. Masing-masing takut untuk terlibat kerana tidak sanggup dihukum oleh Allah baik di dunia apatah lagi di akhirat.
Tetapi semua itu tidak benar-benar berlaku pada hari ini. Orang yang sepatutnya tidak layak dan tidak boleh berjaya dalam sesuatu permohonan, tetapi akhirnya menjadi layak dan berjaya hanya kerana rasuah. Ketahuilah perkara yang diperoleh itu tidak berkat dan mereka yang terlibat akan terus bergelomang dengan dosa tersebut.
Cuma persoalan yang sering ditimbulkan hari ini adakah rasuah sesuatu pemberian hadiah bagi tujuan mengucapkan terima kasih atas pertolongan seseorang. Perkara inilah yang perlu diteliti oleh umat Islam agar kita tidak terbabas dalam sesuatu istilah.
Sebenarnya konsep orang yang berkuasa, orang yang ada kuasa penentu dan seumpamanya perlu difahami umat Islam. Mereka yang bertugas dalam sesuatu urusan itu sudah mempunyai gaji, maka mereka tidak berhak menerima hadiah daripada pihak yang berkepentingan. Walaupun atas alasan berterima kasih kerana perbuatan itu tidak terlepas daripada dikaitkan dengan rasuah.
Tetapi jika pemberian kepada orang biasa, dan pemberiannya bukan untuk membolehkan urusannya diluluskan segera maka pemberian itu bukanlah rasuah. Sebagai contoh, seorang jiran hendak ke hospital tetapi tiada kenderaan. Dia cuba menolong menghantar jirannya ke hospital. Sebagai ucapan terima kasih dia memberi wang RM20 bagi tujuan memberi minyak kereta. Maka pemberian itu tidak termasuk dalam rasuah.
Berdasar itu, umat Islam seharusnya boleh membezakan antara rasuah dengan hadiah untuk mengelak daripada terus melakukan dosa kepada Allah sama ada sedar atau tidak.

07 April 2009

Tahniah buat wakil rakyat yang dipilih

Tahniah kepada tiga wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing pada hari ini, 7 April 2009. Kemenangan wakil BN, Malcolm Mussen Lamoh, 49 bagi DUN Batang Ai, Sarawak dengan majoriti yang agak besar, 1,854 undi berbanding sebelumnya harus disyukuri oleh BN Sarawak dan BN pusat. Bersyukur kerana masih dipilih rakyat.
Kemenangan calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi pula harus diinsafi oleh semua penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Insaflah kerana Allah masih mahu memberi peluang kepada orangnya untuk membela rakyat. Peluang ini harus diguna dengan sebaiknya.
Manakala kemenangan muka baru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar mempertahankan kerusi PKR bagi DUN Bukit Selambau wajar menjadi ingatan buat penyokong PKR dan Pakatan Rakyat Kedah. Ingatlah kepercayaan rakyat dalam hal ini tidak boleh dipandang ringan. Jadi, rakyat perlu dibela dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan parti.
Kemenangan S.Manikumar dengan majoriti 2,403 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) S.Ganesan yang memperoleh 10,229 undi berbanding Manikumar, 35, yang memperoleh 12,632 undi harus dipulangkan kepada rakyat kerana tanpa mereka tidaklah anda menjadi wakil rakyat.
Begitu juga dengan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi kemenangan itu harus digunakan sebaiknya untuk berkhidmat kepada rakyat. Kemenangan dua wakil PR ini hakikatnya memberi isyarat bahawa PR harus bersedia untuk merima tanggungjawab yang lebih berat selepas ini. Jadi, belajarlah untuk berlaku adil kepada rakyat tanpa melihat kepada parti yang mereka anggotai. Jika semua pihak dapat layanan sama rata, nanti selurah negara akan yakin kemampuan PR.
Kepada Malcolm Mussen Lamoh, 49, bekas jurutera di Jabatan Pertanian Sarawak memenangi pilihan raya kecil itu dengan memperoleh 3,907 undi mengalahkan ahli politik veteran Jawah Gerang, 55, yang mendapat 2,053 undi belajarlah dari kekalahan rakan-rakan BN. Rakyat tidak mahu orang yang menjadi wakil mereka dalam kalangan orang yang cakap tak serupa bikin.

05 April 2009

Selamat melakukan perubahan

Fikrah Islamiah mengambil kesempatan untuk mengucap tahniah kepada YAB Dato Seri Najib Tun Razak yang telah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Tahniah juga kerana beliau telah berjaya memulakan agenda perjuangannya dengan melakukan tiga perkara yang mengejutkan; membatalkan penarikan permit sementara Harakah dan suara Keadilan; membebaskan 13 tahanan ISA; mengkaji semula ISA.
Soal niatnya ikhlas atau tidak tidak perlu dipertikaikan, yang penting semua itu telah menyelamat dan melegakan sebahagian besar rakyat Malaysia. Allah akan menilai usahanya.
Sebagai rakyat Malaysia, rakyat Perdana Menteri, saya mahu satu lagi kejutan yang boleh dilakukan segera. Saya harapkan selepas keluar keputusan pilihan raya kecil di tiga kawasan pada 7 April ini, PM dan BN tidak lagi memusuhi parti pembangkang dan negeri yang diperintah mereka. Hal ini kerana mereka juga rakyat Malaysia dan rakyat PM. Jangan korbankan rakyat semata-mata atas kepentingan politik.
Hakikat yang harus diterima, pembangkang juga ada peranan untuk membina negara Malaysia yang baik dan cemerlang. Bukankah lebih mereka bergerak sama ke arah kejayaan negara. Yang kurang ditambah baik oleh pembangkang, begitulah sebaliknya.
Untuk mencapai kehendak itu, PM seharusnya melarang media meniupkan propaganda memburukkan pembangkang kerana itulah yang menyebabkan ramai penyokong kerajaan meluat kepada kerajaan. Selamat melakukan perubahan.

Harus poligami hanya kepada yang layak

Saya tidak sangka artikel mengenai poligami mendapat sambutan ramai, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Tetapi ramai yang memberi komen melalui al-faalah sungguh membanggakan. Ada yang boleh diterima akal namun semua pandangan yang menyatakan kurang bersetuju dengan artikel itu memberi satu mesej bahawa mereka berminat untuk mengkaji ilmu tersebut dengan lebih mendalam.
Bagi mereka yang berminat, saya mempersilakan untuk melawati blog saya dan membaca semua artikel yang sudah tersiar sejak awal tahun 2009. Mereka juga boleh terus menghubungi saya untuk memperoleh ilmu tersebut secara langsung sekali gus mengelak kekeliruan.
Perlu dijelaskan di sini, kalau sesuatu artikel itu dibaca secara sambil lewa, pasti keliru. Tetapi kalau dibaca dengan baik dan disusuli setiap tajuk yang berkaitan pasti akan bertemu jawapan yang pasti.
Saya tidak kisah jika ada pembaca meragui ilmu penulis atau meragui rujukan penulis dalam bab ini jika mereka boleh memahami Bahasa Arab, kerana mereka boleh merujuk perkara itu dalam kitab fiqah yang muktabar. Tajuk ini sudah lama ditulis oleh ulama terdahulu.
Tetapi apa yang saya hendak jelaskan di sini bahawa tulisan tentang poligami (tiga artikel terdahulu) bukan bertujuan membela wanita dan bukan juga untuk menghalang lelaki berpoligami. Sebenarnya artikel ini adalah merujuk kepada amalan poligami yang dilakukan oleh orang kebanyakan pada hari ini yang boleh dikatakan semuanya berdosa baik suami mahupun isteri.
Hal ini terjadi kerana mereka yang terlibat tidak mengikut kehendak syariat. Hakikatnya mereka belum layak untuk berpoligami. Dahulu, poligami diamalkan oleh ulama, tok guru dan orang soleh, mereka tahu hukum poligami dan pastinya mereka tidak melakukan kesalahan tentangnya.
Jadi, artikel ini adalah satu panduan kepada mereka yang baru bercita-cita hendak berpoligami atau yang telah berpoligami agar tidak terus melakukan dosa. Kalau mereka telah terlanjur, masih ada masa untuk bertaubat kerana Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Antara kelasahan yang lazim dilakukan oleh suami yang berpoligami ialah berbohong. Sewaktu hendak kahwin, dia tipu isteri; apabila sudah berkahwin, sewaktu hendak pergi rumah yang satu lagi, dia bohong lagi. Bukan hari pertama sahaja, malah berhari-hari sehinggalah mereka menemui ajal. Mengapa berbohong kalau mereka tahu itu satu dosa?
Orang yang berbohong adalah salah satu sifat munafik, tidak kira sama ada dia berpoligami atau tidak? Bagi yang tidak poligami, kalau suami berbohong akan isterinya yang satu sudah dikira berdosa apatah lagi kalau yang berpoligami, bertambahlah dosanya kerana dia lebih kerap berbohong kepada isteri-isterinya.
Kesalahan lain yang jarang dibahaskan pada khalayak umum ialah bersetubuh akan isteri pada hari yang bukan gilirannya. Walaupun sebelum ini saya telah nyatakan teks rujukan, tetapi masih ada yang tidak yakin. Mereka masih mahu saya datang hadis sahih. Saya tidak pasti adakah yang mempersoalkan perkara ini ialah orang yang terlibat dengan poligami atau sekadar hendakkan kepastian hukum itu.
Pada awalnya saya malas hendak berhujjah balas, tetapi kebetulan saya terjumpa dalil tersebut, maka wajarlah saya memanjangkan sedikit perkara tersebut, semoga selepas itu semua pihak boleh faham. Hadis ini sekali gus menjawab pertanyaan puan Latifah sebelum ini.
Hadis tersebut tedapat dalam bab membelai isteri iaitu ada salah seorang isteri baginda menceritakan:
"Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran baginda, lalu baginda bermalam di tempatnya."
(Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam hadis ini, jelas Rasulullah hanya sekadar ziarah semua isterinya setiap hari. Baginda tidak tidur dan baring dengan isterinya kecuali pada rumah isteri yang menjadi gilirannya. Jika sekiranya bersetubuh dibenarkan sudah pasti baginda akan lakukannya supaya ia menjadi ikutan umatnya terutama umat akhir zaman.
Berdasarkan itu, wahai kaum lelaki yang sudah ada dua, tiga atau empat isteri jangan ulangi larangan ini. Dan wahai kaum wanita yang bergelar madu, halanglah suami anda daripada terus melakukan dosa. Apa guna berpoligami kerana nak ikut sunnah tetapi penuh dengan dosa.
Kesalahan lain yang turut diabaikan oleh suami ialah, giliran yang tidak sama, lima : dua, empat : tiga. Giliran yang lebih dari tiga hari adalah haram kecuali dengan reda isteri berkenaan. Saya memang bersimpati dengan isteri yang diabaikan suami tentang giliran ini. Semoga suami anda insaf akan kesalahannya.

01 April 2009

Sifat cemburu jadi buruk tanpa iman

Selalu kita mendengar kisah queen control, isteri menguasai suami dan rumah tangga. Isteri jadi tuan dan suami menjadi kuli atau seperti hamba. Suami ketika itu tidak boleh angkat kepala atau membantah apabila mendapat arahan daripada isteri.
Biasanya isteri begini mempunyai kedudukan yang lebih baik dari suami. Boleh jadi isteri berharta, sedangkan suami tidak mempunyai harta, isteri berpelajaran tinggi dan suami tiada berkelulusan, dan isteri berpangkat dan suami tiada kerja tetap.
Dengan kedudukan ini isteri akan mengkontrol suami semahunya kecuali kalau isteri itu orang yang beriman dan dia memahami hukum dan pantang larang dalam Islam.
Oleh sebab itu dalam perkahwinan disyaratkan pasangan itu sekufu, maka kedudukan pasangan di atas adalah tidak kufu. Dalam Islam sepatutnya terjadi sebaliknya iaitu suami lebih dari isteri pada perkara yang disebutkan di atas. Dan kesan daripada tidak kufu itu maka terjadilah queen control dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun terdapat juga dalam kes-kes tertentu isteri tidaklah berkedudukan lebih baik dari suami, mungkin mereka adalah sama-sama miskin dan tidak ada kerja yang istimewa. Tetapi, oleh sebab isterinya tersangat kuat cemburunya maka apa sahaja kerja suami dia mesti tahu. Setiap langkah gerak kerja suami di luar rumah mesti dalam pengetahuannya.
Ertinya suami tidak boleh keluar selalu, tidak boleh buat kerja luar tanpa pengetahuan isteri. Nanti, akan adalah perasaan bersangka buruk terhadap suaminya. Dia rasa seolah-olah suaminya mencari perempuan lain, atau suaminya sudah tidak sayangkannya lagi dan sebagainya. Ini adalah jenis kedua queen control.
Jelas di sini, pasangan dalam rumah tangga di atas juga tidak sekufu, tidak setaraf kedudukan mereka. Sepatutnya dalam Islam suamilah yang patut cemburu kepada isterinya bukan sebaliknya. Jadi, suami wajib bersikap cemburu, manakala isteri hanya harus bersikap cemburu.
Sebenarnya pasangan yang sekufu itu mesti diasaskan di atas iman yang kuat atau beragama. Ertinya pasangan itu mestilah memahami hukum Islam dan melaksanakan hukum itu dengan sebaiknya. Sungguhpun begitu kedudukan suami dalam hal ini hendaklah lebih mantap iman, ilmu atau kewangan dari apa yang dimilik oleh isterinya.
Tanpa itu semua, akan datanglah penyakit cemburu buta, hasad dengki, tidak puas hati dan sebagainya. Sesungguhnya keadaan begini akan merumitkan hubungan antara suami dengan isteri apabila tidak ada pihak yang mahu bertolak ansur.
Percayalah dengan sikap cemburu seseorang isteri itu dia akan tergamak menghalang suaminya dari selalu keluar rumah lebih dari sehari semalam. Apa lagi kalau suami bertugas di luar negara, dia akan cuba menghalangnya.
Bagi isteri ini lebih baik suami itu berkerja kampung menoreh getah atau mengacik burung atau menjadi buruh kasar. Dia lebih rela melihat suaminya susah dan berpendapatan sedikit daripada berjauhan darinya. Kononnya dia hanya mahu melihat suaminya setiap hari.
Ingatlah apabila cemburu itu memuncak, ada kemungkinan akan berlaku keganasan dalam rumah tangga. Akan berlakulah pertengkaran sehingga dia sanggup marah dan memukul suaminya. Lebih parahnya kalau dia sanggup memecahkan cermin kereta dan segala harta suaminya.
Oleh sebab itu dalam kes seumpama ini, salah seorang daripada mereka mesti mengundur diri dari perbalahan itu. Maksudnya, suami hendaklah meminta maaf dan berterus terang dengan isterinya. Sikap suami yang suka merahsiakan apa yang dilakukannya boleh merosakkan hubungan yang sedia baik antara mereka berdua.
Sebenarnya isteri yang mempunyai persepsi yang buruk tentang suami mesti dibersihkan oleh suami dengan bijak. Tetapi kalau suami tidak mampu menyelesaikan masalah itu maka dia mestilah meminta nasihat dari orang lain yang lebih berwibawa. Kadang-kadang dengan menggunakan orang tengah lebih berkesan daripada usaha diri sendiri.
Orang tengah yang paling baik untuk menyelesaikan masalah mereka ialah ibu bapa masing-masing. Merekalah yang sepatutnya bertindak sebagai orang tengah, tanpa memihak kepada anak sendiri dan tidak pula menyalahkan menantu. Pendekatan ini kalau dapat dipupuk oleh mereka akan terbinalah rumah tangga yang bahagia tanpa queen control lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...